Sunday, September 30, 2007

SIAPA SHAHRIN AZAM?

SHAHRIN AZAM B. ISMAON
2 SHD, FPPSM

Saya berasal dari Taman Peringgit Jaya Melaka. Ayah saya merupakan seorang pesara tentera dan juga pesara kakitangan PETRONAS, manakala ibu saya pula pesara kakitangan Jabatan Ukur Melaka. Alhamdulillah, hasil perkongsian hidup mereka, mereka berjaya melahirkan lima orang cahaya mata dalam suasana yang cukup bahagia. Saya sebagai anak yang ketiga, banyak menimba ilmu daripada kematangan abang saya yang sulung dan kakak saya disamping membantu ibu dan bapa saya mendidik dua orang adik – adik saya yang sedang mengenal erti kehidupan. Semoga kami adik – beradik berjaya menjadi insan yang diredhai Allah.

PENGALAMAN KEPIMPINAN

Penglibatan awal saya dalam kepimpinan bermula sejak sekolah rendah lagi. Alhamdulillah, Allah mengtaklifkan saya sebagai Ketua Kelas. Pada waktu itu, memang saya berhasrat untuk menjadi pengawas, tetapi atas kehendakNya yang Maha Bijaksana, saya tidak terpilih.

Seterusnya sewaktu saya mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah di Sekolah Menengah Agama al-Ahmad, Sg Udang Melaka, penonjolan saya dikalangan sahabat – sahabat yang lain agak ketara. Alhamdulillah, dikalangan sahabat – sahabat saya, saya dilantik menjadi pengawas sekolah dan ajk asrama. Kemudian, selepas mendapat keputusan yang baik dalam PMR (alhamdulillah), saya diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka. Di sana, saya masih menonjol dikalangan sahabat – sahabat yang lain, dan Alhamdulillah, dengan pengaruh saya yang dikurniakan Allah, saya dipilih untuk mengisi beberapa jawatan, antaranya:

1. Pengawas (Portfolio Kerohanian)
2. Timbalan Amir BADAR
3. Timbalan Presiden Rumah Sukan Abu Bakr (Merah)
4. Naib Presiden Kelab Kompang

Selain daripada itu, saya juga melibatkan diri secara aktif dalam beberapa aktiviti ko-kurikulum seperti persatuan dan acara sukan. Dalam acara sukan, saya aktif dalam pertandingan bola sepak sekolah, serta menyertai sukan olahraga acara balapan. Persatuan yang saya sertai ialah Persatuan Putera Islam. Antara kenangan saya sewaktu bergiat dalam persatuan tersebut ialah menjadi Pengarah Progran Khemah Ibadah. Menguruskan program seawal usia tersebut sememangnya banyak menguji kebolehan saya dalam pengurusan program.

Selepas meninggalkan alam persekolahan saya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Johor. Di sana saya masih aktif dalam kegiatan sukan seperti yang sebelumnya. Disana juga saya melibatkan diri dengan aktif dalam Kesatuan Remaja Islam Malaysia, KARISMA dan telah ditaklifkan sebagai Setiausaha. Saya juga melibatkan diri sebagai Pembantu Rakan Dinamik yang dikelolakan oleh kaunselor KMJ selain dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Kumpulan Praktikum.

Kemudian saya menyambung pengajian di UniversitiTeknologi Malaysia, Skudai (UTM Skudai). Selama setahun pengajian saya di sini, saya banyak melibatkan diri dengan program – program pelajar daripada anjuran pelbagai pihak selain melibatkan diri dalam persatuan pelajar dan juga memegang portfolio kepimpinan. Antaranya:

1. Exco Kerohanian JKM Kolej Tuanku Canselor
2. AJK As-Syakirin
3. Ahli Persatuan STRATEGI FPPSM
4. Ketua Seksyen

Penglibatan saya dalam program pelajar ialah:

1. Pengarah Program Khidmat Masyarakat di Parit Kassan, Muar anjuran Persatuan STRATEGI
2. AJK Teknikal Malam Pra-Graduan di Persada Johor
3. Timbalan Pengarah Program Macam - Macam KTC
4. Ketua Unit Protokol Program Khidmat Masyarakat di Kg Awat Batu 6, Segamat Johor, anjuran JKM KTC.

VISI DAN MISI

Apa yang ingin saya bawakan sebagai seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar ialah menjaga kebajikan pelajar dalam bentuk kerohanian dan spirituil. Hal ini kerana, elemen inilah yang yang akan memegang kuat diri kita daripada mudah dipengaruhi anasir – anasir luar yang merosakkan. Pada pemerhatian saya, mahasiswa era milinium ini kekurangan dari segi kekuatan kerohanian seperti ini sehingga menyebabkan kita mudah disogok dengan sesuatu yang melalaikan kita daripada mengerti erti perjuangan kita di kampus. Malah, tidak keterlaluan jika saya mengatakan pemikiran mahasiswa sekarang ini telah disogok sehingga tidak mampu menerima prinsip kerohanian dalam membentuk jati diri yang gemilang. Inilah yang berlaku hasil daripada kemasukan ideologi – ideologi luar seperti hendonisme, sekularisme dan lain – lain yang datang dalam pelbagai bentuk samada teoritikal (material bacaan seperti novel, cerpen, dan komik) serta praktikal (program – program hiburan melampau, penggalakan percampuran antara lelaki dan perempuan yang tiada batasan)

Oleh itu, saya telah meletakkan misi saya yang paling utama ialah untuk membebaskan paradigma masyarakat kampus daripada pengaruh dan cengkaman pemikiran songsang barat seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya kepada bentuk pemikiran yang dipimpin oleh Tuhan Semesta Alam, Allah SWT. Misi seterusnya ialah mempraktikalkan kebudayaan dan syariat Islam dalam kehidupan masyarakat kampus sekaligus untuk membuka mata semua golongan bahawa ajaran dan syariat Islam itu sesuai untuk semua keadaan.

Insyaallah, atas sokongan sahabat – sahabat semua, saya akan usahakan bersungguh – sungguh supaya kita semua dapat menikmati hasilnya kelak, bukan sahaja di dunia, malah di akhirat. Assalamualaikum wrt.

FARSHI TURAB-DUST IS MY BED



Kepada sahabt-sahabat, jangan kita terlupa, pengalaman yang pasti kita akan lalui nanti iaitu saat kematian.

VOTE FOR ME....

Thursday, September 27, 2007

MENJANA MAHASISWA BERKEPIMPINAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Menjadi kebanggaan besar untuk menjejakkan kaki kemenara gading. Bergelar mahasiswa melambangkan ketinggian ilmu, budi dan pekerti. Namun itu pada teorinya, sejauhmanakah kebenaran falsafah seorang mahasiswa ini? Harus diteliti dan diperbaiki.

Jika suatu ketika dahulu, mahasiswa menjadi ikon kebanggaan masyarakat, hari ini mahasiswa seolah-olah tidak dipandang dalam banyak perkara, bukan kerana bilangan universiti yang banyak yang menjadikan gelaaran mahasiswa sudah tidak glamor, namun gelaran mahaiswa sudah tidak keramat lagi.

Mahasiswa dilihat sebagai 'title' yang gah namun tiada lagi fungsinya. Ini berlaku lantaran mahasiswa diasak sikap pentingkan diri, pentingkan kerjaya nanti sehiggakan bila hak mahasiswa di ceroboh, tiada siapa yang berani membelanya kerana takut nama disenarai hitamkan. Lantaran itu lahirlah mahasiswa yang tiada lagi bisanya, isu mahasiswa tiada pembelaan apatah lagi isu masyarakat yang telah lama dikesampingkan.

Justeru itu pemilihan mahasiswa yang sepatutnya untuk menjadi wakil adalah amat penting bagi memastikan penjanaan mahasiswa berkepimpinan akan berlaku dan akan membuahkan mahasiswa yang peka dan cakna.